Tawaran Murah Hotel

Rabu, September 07, 2011

Murahnya Gelaran “Ulama’” Pada Zaman Ini


Murahnya Gelaran “Ulama’” Pada Zaman Ini
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh; Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam; Selawat dan Salam ke atas Rasulullah SAW, Rahmat ke seluruh alam; Juga kepada ahli keluarga baginda dan para sahabat r.a. yang telah bertebaran di merata alam;
1. Pertama sekali, penulis memohon maaf kepada para pembaca kerana tidak dapat “update” penulisan di blog ini seperti blog2 yang lain-lain. Ini adalah kerana kelemahan penulis sendiri dan semoga Allah memberi tawfiqNya untuk penulis terus berkongsi serba sedikit ilmu (“Dan tidaklah kamu semua diberikan ilmu melainkan sangat sedikit.”), pengalaman dan pemerhatian penulis bersama para pembaca.
2. Pada posting yang ringkas kali ini, penulis ingin meluahkan rasa kesal di atas sikap sebahagian manusia yang terlalu mudah menggelarkan seseorang itu sebagai salah seorang daripada kalangan ulama’. Kalaupun hendak memuji, janganlah membuat pujian dan dakwaan bukan pada tempatnya.
3. Betapa mahalnya gelaran ulama’ ini sehinggakan Al-Quran hanya menyebut kalimah “al-Ulama’” ini hanya sekali sahaja iaitu dalam surah Fatir ayat 29 iaitu [tidak termasuk istilah "Ulama' Bani Israil" di dalam al-Shu'ara': 197]:
إِنَّمَا يَخْشَى اللَّهَ مِنْ عِبَادِهِ الْعُلَمَاءُ
Terjemahan: ‘Hanyasanya yang takut kepada Allah SWT itu di kalangan hamba-hambanya ialah orang-orang berilmu (al-Ulama’)”.
4. Dan Rasulullah SAW ialah hamba Allah yang paling takut kepada Allah dan yang paling mengenali Allah SWT sepertimana sabdaan baginda SAW (Sahih Ibn Hibban):
والله إني أتقاكم لله وأخشاكم له
Terjemahan: “Demi Allah, akulah yang paling bertaqwa kepada Allah di kalangan kamu, dan yang paling takut kepadaNya di kalangan kamu.”
Dalam riwayat yang lain, Rasulullah SAW bersabda (Sahih Bukhari):
إِنَّ أَتْقَاكُمْ وَأَعْلَمَكُمْ بِاللَّهِ أَنَا
Terjemahan: “Sesungguhnya yang paling bertaqwa dan yang paling mengenal Allah di kalangan kamu ialah daku”
5. Berdasarkan ini, seorang alim di kalangan para ulama’ itu mempunyai kedudukan yang paling hampir dengan Rasulullah SAW.
6. Al-Quran tidak menyatakan sifat para ulama itu sebagai suka berdebat2 atau petah berkata2 atau banyak karangannya atau banyak pengikutnya atau luas pengaruhnya atau hebat fizikalnya atau memiliki PhD atau gelaran Profesor dan lain-lain. Perkara-perkara tersebut masih belum menjadi petunjuk2 yang pasti kecuali dizahirkan dengan sokongan-sokongan yang lain seperti persepakatan ummah di atas penerimaannya sebagai ulama’, dan lain-lain.
7. Namun begitu, al-Quran mengunci kemas istilah ulama’ itu dengan “ketakutan kepada Allah SWT”. Dari sudut bahasa Arab, kalimah “innama” itu adalah salah satu bentuk uslub al-hasr wa al-ikhtisas yang memberi makna limitation dan privilege. Bukankah sifat Takut (dan iman) itu sesuatu yang tidak zahir dan berada di dalam hati seseorang ulama’? Ya, maknanya bukan mudah untuk mengenal hakikat para ulama’ itu.
8. Imam al-Ghazali menyatakan lima ciri-ciri yang ada pada para ulama’ yang besar yang disepakati ummat ini seperti Imam al-Shafie, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad Ibn Hanbal dan Imam Sufyan al-Thawi iaitu:
وكل واحد منهم كان عابداً وزاهداً وعالماً بعلوم الآخرة وفقيهاً في مصالح الخلق في الدنيا ومريداً بفقهه وجه الله تعالى
Tejamahan: “Setiap daripada mereka itu kuat ibadahnya, zuhud, berilmu dengan ilmu-ilmu akhirat, dan faqih di dalam maslahat makhluq di dunia (faqih dalam ilmu hukum ahkam zahir fiqh), dan mengkehendaki dengan ilmu mereka keredaan Allah”
Seorang ulama’ bukan sahaja mempunyai ciri-ciri ini, namun dia juga mampu mendidik ciri-ciri ini pada anak-anak didiknya dan masyarakat sekiranya sekaliannya mempunyai niat yang benar dan sahih.
9. Jadi, sedarlah kita bahawa kedudukan ulama’ itu terlalu tinggi untuk dimurahkan istilahnya pada hari ini. Ambillah pengajaran al-Quran.
10. Hari ini, orang yang berkata-kata kesat, tidak memelihara hak sesama Muslim, merendah2kan umat Islam, bahkan mencaci dan mengkafir sesama Muslim, tidak menghormati Rasulullah SAW dan ahli keluarga baginda r.a., tidak menghormati ulama’2 terdahulu terus dipanggil seorang ulama’ kerana zahir di dalam program televisyen dan internet ataupun menggenggam segulung ijazah PhD ataupun menang bertanding di dalam sebuah parti politik atau memasuki parti politik atau menubuhkan persatuan di atas nama ulama’ atau pakaiannya dan sebagainya. Sungguh murah gelaran ulama’ ini untuk dijadikan batu loncatan dan pakaian.
11. Ya! Banyak penggunaan istilah agama berkaitan gelaran kepada para ilmuan agama pada hari ini termasuk di dalam bab “al-tawassu’ fi al-istilah” iaitu kelonggaran penggunaan istilah dan bukan kerana tahqiqnya individu tersebut pada gelarannya… melainkan sangat sedikit.
12. Selain daripada istilah ulama’, istilah tajdid, islah, jihad dan lain-lain begitu mudah digunakan untuk menghalalkan tindakan masing-masing dan pendapat masing-masing dan menyalahkan orang lain.
11. Istilah2 ini dapat menjadi pakaian menutupi kebatilan yang terselindung di sebaliknya, khususnya fitnah dan bid’ah di dalam agama, sebagaimana ahli bid’ah, si jahil dan si fasiq boleh menutup bid’ah, kejahilan dan kefasiqan di sebalik pakaian seorang alim. [hal ini dipanggil tadlis]
13. Maka, berhati-hatilah kita di dalam urusan agama kita dan semoga Allah tidak menjadikan musibah kita di dalam agama kita sepertimana doa Rasulullah SAW (Sunan al-Tirmizi):
وَلَا تَجْعَلْ مُصِيبَتَنَا فِي دِينِنَا
Terjemahan: “Dan janganlah engkau (Ya Allah!) menjadikan musibah kami di dalam agama kami.”
14. Semoga Allah SWT menunjukkan kita jalan yang lurus. Al-Fatihah.
Wassalamu ‘alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Jangan sakiti Rasulullah


Jangan sakiti Rasulullah
Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
PARA penceramah perlu berhati-hati dalam memperkatakan sesuatu yang ada hubung kait dengan Nabi Muhammad SAW. – Gambar hiasan
SESIAPA saja akan sedih dan terguris hati jika keburukan kedua ibu bapa disebut-sebut di hadapannya kalaupun ia suatu yang benar dan bukan sekadar tuduhan. Inilah fitrah hubungan kasih dan sayang yang ada antara seseorang itu dengan ibu bapa kandungnya.
Keburukan apakah yang lebih besar dan jelas selain daripada kekufuran Abu Lahab sehingga celaan Allah SWT dalam al-Quran.
Namun, apabila sampai ke telinga Nabi bahawa ada sahabat yang mengungkit tentang kekufuran dan penentangan Abu Lahab di hadapan anak perempuannya yang Muslim, baginda melarang dan menegur perbuatan itu.
“Jangan sakiti yang Islam dengan menyebut-nyebut yang kafir,” sabda baginda.
Jika itulah sikap Nabi dalam kes Abu Lahab, bagaimanakah pula jika ibu dan bapa baginda sendiri yang disebut dan diungkit sebagai kufur dan berada dalam neraka?
Adakah Nabi tidak terguris hati atau merasa disakiti, tanpa mengira apa pun niat si penyebut? Lebih buruk lagi jika pandangan bahawa ibu dan bapa nabi itu kufur adalah tidak benar dan bercanggah dengan pandangan jumhur ulama.
Maka kenyataan tersebut merupakan suatu pendustaan terhadap kekasih Allah SWT dan makhluk-Nya yang paling mulia.
Malangnya, akhir-akhir ini, ada dakwaan bahawa ibu dan bapa Nabi itu kufur dan berada dalam neraka. Ia diketengahkan dalam masyarakat kita secara terbuka dalam media perdana oleh segelintir pendakwah.
Dalam keadaan begitu tidak mustahil ramai ahli masyarakat yang tidak berilmu akan mudah terpengaruh, lantas sama-sama mengulangi kalimah yang pastinya menyakiti Nabi itu.
Mahukah kita jika Allah SWT memandang umat Islam di Malaysia sebagai tidak peka dengan apa yang menyakiti kekasih-Nya? Bukankah ini boleh mengundang kemurkaan Allah dan rasul-Nya?
Sebenarnya tidak ada satu sebab munasabah untuk mengungkit isu status ibu dan bapa Nabi.
Jika isu ini tidak ditimbulkan, masyarakat kita amnya mempunyai tanggapan yang sangat mulia terhadap ibu dan bapa Nabi. Itu sikap yang lebih berasas dan tepat seperti yang akan dihuraikan.
Kalau pun ada yang bertanggapan bahawa ini bercanggah dengan hadis, tetapi apakah ia menepati keutamaan yang begitu tinggi dan mendesak sehingga perlu ditimbulkan.
Adakah selama ini dengan memuliakan ibu dan bapa Nabi merugikan dan memundurkan Islam dan umatnya di Malaysia?
Selain tiada keperluan jelas, isu ini juga tidak patut ditimbulkan secara terbuka. Untuk memastikan ia benar-benar dihuraikan secara adil ia menuntut kajian dan penelitian ilmiah khusus.
Sebenarnya, isu ini ada persamaan dengan beberapa isu agama yang sifatnya kompleks dan boleh mengelirukan yang suka ditimbulkan oleh segelintir penceramah akhir-akhir ini. Apabila ada yang menimbulkannya secara terbuka maka wajib penjelasan dibuat agar masyarakat tidak keliru dan tersalah faham. Pendek kata ia sudah menjadi suatu kemungkaran dan kezaliman ilmiah yang wajib dicegah dan diperbetulkan.
Pandangan yang mendakwa ibu dan bapa Nabi adalah kufur dan berada dalam neraka sebenarnya berpuncakan dua hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.
Dalam salah satunya, Nabi bersabda bahawa baginda tidak diizinkan oleh Allah memohon keampunan bagi ibu baginda tetapi diizinkan menziarahi kuburnya.
Dalam hadis kedua, Nabi diriwayatkan menjawab pertanyaan seorang lelaki tentang nasib bapanya dengan menjawab bahawa ayah lelaki tersebut dan ayah baginda sendiri berada dalam neraka.
Walaupun sahih daripada segi sanadnya tetapi jumhur ulama berpendapat bahawa matan atau teks hadis-hadis ini tidak boleh difahami secara zahir semata-mata. Ini suatu yang biasa berlaku dalam berinteraksi dengan hadis.
Bukan hanya kesahihan sanad menjadi penentuan hukum daripada sesuatu hadis. Terdapat juga kaedah-kaedah tertentu dalam memahami teks hadis itu sendiri yang perlu dipatuhi.
Berdasarkan kaedah-kaedah dalam memahami teks hadis, hadis-hadis di atas tidak mendokong kesimpulan bahawa ibu dan bapa Nabi kufur dan diazab.
Pertamanya, makna zahir hadis-hadis ini tidak boleh dipegang kerana ia bertentangan dengan nas-nas al-Quran dan hadis-hadis yang lain. Antaranya, ayat-ayat dan hadis yang mensabitkan bahawa Nabi adalah berasal daripada keturunan yang mulia dan terpelihara seperti ayat 219 surah al-Syuara’ yang bermaksud: dan (Allah melihat) pergerakanmu di antara orang-orang yang sujud.
Ibnu Abbas seperti yang diriwayatkan oleh al-Bazzar, al-Tabrani dan Abu Nuaim serta dalam tafsir-tafsir al-Tabari dan al-Qurtubi berpendapat bahawa ayat ini bermaksud bahawa Nabi telah berpindah dari satu sulbi ke satu sulbi di kalangan nenek moyang yang sujud dan beriman.
Hal ini disokong oleh hadis-hadis yang merakamkan bahawa Nabi pernah memuji atau berbangga dengan ibu bapa dan keturunannya sedangkan adalah tidak wajar Nabi melakukan demikian jika mereka itu syirik atau kufur.
Maksud zahir hadis-hadis itu juga bertentangan nas-nas al-Quran berkenaan kaedah bahawa Allah SWT tidak akan mengazab sesuatu kaum sebelum dikirimkan rasul-rasul-Nya untuk menyampaikan agama yang benar (al-Israk: 15, al-Anaam: 131, al-Nisaa’: 165)
Terdapat pula ayat-ayat yang menafikan bahawa terdapat rasul yang dikirim kepada kaum Nabi Muhammad sebelum kebangkitan baginda (Saba’: 44, al-Qasas: 46).
Maka kesimpulan yang lebih tepat adalah ibu dan bapa Nabi sama ada beriman dengan peninggalan risalah rasul-rasul yang terdahulu ataupun tergolong dalam kalangan Ahlul Fatrah, iaitu mereka yang berada di zaman yang tiada rasul yang menyebabkan mereka secara prinsipnya tidak akan diazab.

Isnin, September 05, 2011

Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Asyraaf Malaysia


Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Asyraaf Malaysia

Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Asyraaf Malaysia kali ini akan diadakan pada 10hb September 2011/ 12 Syawal 1432H di Alaf, Bukit Goh, Kuantan, Pahang. Dijemput hadir kepada semua jamaah asyraaf.
Aturcara (Siang)
8.00am ~ 9.00am – Kedatangan & Pendaftaran di Akedemi Latihan Felda Bukit Goh
9.30am ~ 12.30pm – Mesyuarat Agung Aysraff Malaysia
1.00pm ~ 2.30pm – Makan Tengahari Dan Solat Zuhur Berjemaah
3.00pm ~ 4.30pm – Perjumpaan Suai Kenal Sayap Putera Dan Puteri
4.30pm ~ 6.00pm – Solat Asar Berjemaah, Riadah Dan Minum Petang
Aturcara (Malam – Di Surau Othmaniah)
5.30pm ~ 6.00pm – Tahlil
6.00pm ~ 7.15pm – Tazkirah & Solat Maghrib Berjemaah
7.30pm ~ 8.45pm – Maulid & Ratibul Haddad Dan Solat Isyak Berjemaah
8.45pm ~ 10.00pm – Qasidah & Samrah, Makan Malam dan Majlis Bersurai
*Aturcara adalah tertakluk pada pindaan
*Semua Ahli dan bukan Ahli DiJEMPUT HADIR
*Pendaftaran akan dibuka dengan Bayaran RM12
*Samrah & Makanan PERCUMA
Sharifah Nurul Huda Al-Baity – 013-9502277 (bagi yang tinggal di luar Kuantan untuk dapatkan penginapan)
Sharifah Raudhah Al-Baity – 013-3944698
Syed Idrus – Al-Idrus – 012-9489948
Pembantu:-
Syed Idham Al-Hinduan-019-9178458
Syed Akmal Al-Qudsi – 019-6864453
Diminta disiarayakan (diwar-warkan) kerana kehadiran anda dan jemaah saadah semua kami ucapkan “Ahlan Wa Sahlan” (Di alu-alukan),kami nantikan pada 10hb September 2011 / 12 Syawal 1432H (SABTU) tersebut.
http://www.asyraaf.org/forum/thread-3112-1-1.html

Mahabbah Nabi kunci kekuatan


Mahabbah Nabi kunci kekuatan



SEJAK kecil, Husna Muhammad Shukor, 16, sudah didedahkan dengan pelbagai bahan bacaan ilmiah berteraskan Islam terutama kitab-kitab thurath lama yang dipelajari oleh kedua-dua ibu bapanya. Bapanya, Muhammad Shukor Shabudin, 47, yang bertugas sebagai Ketua Hakim Syarie Negeri Sembilan dan ibunya, Yusmawati Kamaluddin, 45, seorang guru agama di sebuah sekolah rendah sering membawa Husna bersama dalam pengajian kitab-kitab tersebut.
Antaranya seperti pengajian kitab Sahih Bukhari, Riyadh al-Solihin, al-Hikam Atoi’llah, al-Hikam Abi Madyan dan sebagainya. Bertunjangkan kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ), pembacaan kitab-kitab berkenaan tanpa disedari telah menyuntik semangat Husna untuk menjadi ahli ilmu bagi menyambung tugas Ulama dalam menyebarkan dakwah. Kemuncak pembelajarannya, anak ketiga daripada tujuh adik beradik itu berjaya mengkhatamkan pembacaan kitab Sahih Bukhari selama 20 hari dalam 40 majlis ilmu walaupun terpaksa menempuh dugaan yang hebat sepanjang tempoh itu.
[kiri] AISYAH [kanan] HUSNA


Baginya, peluang yang sudah tidak dipedulikan kebanyakan manusia zaman ini tidak mungkin dilepaskan walaupun dia terpaksa merangkak untuk menadah kitab di depan gurunya. “Saya perlu kuatkan semangat untuk terus berada di sini kerana menjadi penyangga Islam yang berilmu sememangnya adalah cita-cita saya. “Bukan mahu memuji, tetapi belajar di Darul Quran wal Hadis (DaQwaH) ternyata memberi saya satu kelainan berbanding sekolah pondok lain kerana semua ilmu yang diajar mempunyai sanad atau rantaian yang sampai kepada empunya sanad, Rasulullah SAW,” demikian ungkapan tulus yang lahir dari bibir Husna Muhammad Shukor. Pelajar yang lebih mesra dengan panggilan Husna itu berjaya menamatkan pembacaan kitab Sahih Bukhari baru-baru ini.
[kiri]HABIBULLAH [kanan] MUHAMMAD AMNAN


Sambil membelek kitab yang dikenali seantero dunia Islam itu, Husna tertunduk malu. Sesekali dia menyilangkan jari pada kedua-dua tangannya untuk menyusun bait-bait kata saat ditemu bual di Pusat Ilmu Hadis yang terletak di Taman Tun Abdul Razak, Ampang Jaya baru-baru ini. “Ilmu hadis merupakan ilmu yang paling mulia berbanding ilmu lain. Melaluinya, kita dapat menguasai ilmu-ilmu lain seperti tafsir, al-Quran, Nahu, Lughah (bahasa) Tasawuf dan banyak lagi.
“Tetapi apa yang penting, ilmu hadis mampu mendekatkan diri seseorang dengan Rasulullah SAW kerana melaluinya sahaja kita dapat mendengar kalam yang diucapkan oleh Baginda,” ceritanya. Bagaimanapun pelajar kelahiran Rembau, Negeri Sembilan itu tidak menafikan kesukaran dalam memperoleh ilmu yang berharga itu. Berbicara lanjut, Husna memberitahu, ketajaman akal dan kekuatan otak merupakan kunci utama untuk menghafal sanad dan matan (teks) hadis tersebut. Anak ketiga daripada tujuh beradik itu memperuntukkan lebih 12 jam sehari hanya untuk membaca hadis dan mengulang-ulang sehingga ia sebati dalam jiwanya.
Solat tahajud

PUSAT pengajian ilmu, al-Quran dan hadis Bayt al-Hikmah di Ampang Jaya menjadi medan para pelajar DaQwaH menuntut ilmu.


“Selepas solat Subuh, saya akan mula menghafal sebelum berhenti solat sunat Duha. Ia diteruskan sehingga petang. Selain hadis, saya dan rakan-rakan diwajibkan menghafal kesemua ayat al-Quran sebagai syarat untuk menamatkan pengajian. “Selepas Isyak, kami akan menghadiri kuliah agama oleh Tuan Guru, al-Musnid Sheikh Muhammad Fuad Kamaludin al-Maliki. Jika terdaya, saya akan melakukan solat tahajud pula kerana ia bagus untuk penuntut ilmu mendapatkan makrifat,” terangnya. Husna dan 35 penuntut DaQwaH yang lain berjaya menerima ijazah khusus Sahih Bukhari sempena majlis pengkhataman kitab tersebut dan sambutan Israk Mikraj 1432 Hijrah di Masjid Negara yang berlangsung pada penghujung bulan Jun lalu.

PEMBACAAN kitab berkaitan hadis seperti Sahih Bukhari harus dijadikan amalan agar seseorang itu sentiasa merasakan dekat dengan Nabi SAW.


Pembacaan hadis tersebut dikhatamkan selepas ia dibaca selama 20 hari menerusi 40 kelas pengajian di DaQwah. Pembacaan tersebut bermula pada 1 Rejab lalu dan ia dihadiri lebih 3,000 jemaah.
Majlis yang dirasmikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh itu turut mengundang ulama hadith yang unggul dari Syria iaitu al-Musnid Dr. Muhammad Taufiq ibn Taisir al-Makhzumi al-Hasani dan ulama Iraq, al-Musnid Sheikh Abdul Majid Rasyid al-Jailani. Pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Sofa (YS) bertindak sebagai penganjur bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Masjid Negara. Turut berkongsi pengalaman pada hari tersebut ialah rakan sekelas Husna, Aisyah al-Humaira Muhammad Fuad, 13. Katanya, semangatnya berkobar-kobar sebaik mendengar sabdaan Nabi SAW yang lebih kurang maksudnya: “Wahai umat Muhammad! Jika engkau tahu apa yang aku tahu, nescaya engkau akan banyak menangis daripada ketawa.”
Suntik keinsafan

PERTEMBUNGAN dua ulama dari Asia Barat dan Malaysia, Sheikh Muhammad Fuad (kanan) menerangkan sesuatu kepada Muhammad Taufiq.


Ternyata hadith tersebut berjaya menyuntik keinsafan dalam diri Aisyah untuk terus berusaha menjadi penuntut ilmu terutama ilmu-ilmu agama yang dipandang mulia di sisi Allah. “Saya bersyukur dapat mengkhatamkan kesemua 7,563 hadis yang terkumpul di dalam kitab Sahih Bukhari yang masyhur dalam dunia Islam. “Pada zaman serba moden hari ini, mempelajari hadis dan al-Quran memang dipandang sepi oleh masyarakat tetapi ia merupakan satu tugas yang amat mulia di sisi Allah. Jika kita sentiasa memuliakan ilmu, nescaya Allah akan muliakan kita,” tutur anak sulung daripada lapan beradik tersebut. Tambahnya, antara halangan yang sering dihadapi ketika membaca hadis ialah rasa mengantuk, jemu dan tidak faham kerana kitab itu menggunakan bahasa Arab sepenuhnya.
“Bagaimanapun, dengan tunjuk ajar dan huraian yang diberikan oleh tuan guru, Alhamdulillah semua cabaran itu dapat diatasi,” kata dengan penuh semangat. Dua lagi pelajar lelaki yang turut menerima ijazah pada hari tersebut, Habibullah Amir Zuhairy, 14, dan Muhammad Amnan Hassan, 17, turut berkongsi pandangan mengenai majlis tersebut. “Kami sangat berbangga apabila menerima ijazah kerana berjaya menamatkan pembacaan kitab Sahih Bukhari ini. Tambahan pula, majlis seumpama ini amat jarang dilakukan,” kata Muhammad Amnan.
MAKAM Imam Bukhari yang terletak di Khartang, Samarkand, Uzbekistan.


Sementara itu, pengasas YS, Sheikh Muhammad Fuad yang juga merupakan Pengerusi Aqidah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam ucapannya memberitahu, Imam Bukhari menghafaz hadis ketika berusia 10 tahun atau kurang daripada umur tersebut. Beliau sangat mementingkan disiplin dan keutamaan ilmu ketika menitipkan hadis di dalam sahihnya. “Beliau (Imam Bukhari) akan bangun sekurang-kurangnya 20 kali pada waktu malam setiap kali mendapat ilham terhadap sesuatu hadis yang dihimpunkan untuk ditulis,” kata Sheikh Muhammad Fuad dalam ucapan pembukaannya pada malam tersebut. Hakikatnya, melalui pembacaan hadis, seseorang itu pasti akan mengucapkan selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW apabila nama Baginda disebut. Jadi, tidak hairanlah jika ulama Ahli Sunnah wal Jamaah (ASWJ) sepakat mengatakan bahawa ahli hadis adalah golongan manusia yang paling banyak berselawat ke atas Nabi SAW.